Cara Mudah Menanam Pokok Bebawang Hippeastrum ( Lily ) | Kalau di Belanda , bunga tulip dilihat sebagai pokok bunga yang memberikan pemandangan yang cantik menawan . Di Malaysia , terdapat juga pokok bunga yang indah dan boleh ditanam secara ladang seperti tulip . Salah satu jenis pokok bunga itu dikenali dengan spesis dari genus Hippeastrum dalam keluarga tumbuhan Amaryllidaceae .
Biasanya , pokok Hippeastrum yang matang akan ditumbuhi satu tangkai bunga dengan beberapa kuntuman buna dihujung yang tidak kembang serentak . Keadaan itu memberikan peluang untuk menikmati keindahan setiap bunga berkembang selama satu minggu sebelum layu . Bunga Lily ini berbentuk serombong yang memiliki enam kelopak . Ia biasanya berbunga pada musim hujan setiap tahun .
Spesis Popular
Di antara jenis spesis yang popular yang sering ditanam adalah :
1- Hippeastrum Reticulatum var. Striatifolium
Ia juga digelar sebagai ' Striped leaf Amaryllis ' atau Amaryllis berdaun jalur kerana terdapat jalur yang menarik di tengah daunnya . Kelopak bunganya pula berjalur-jalur putih dan merah muda .
2- Hippeastrum Vittatum
Spesis ini pula berdaun panjang dan meruncing di hujung berwarna hijau tua keseluruhannya . Manakala kelopak bunganya pula berwarna merah pekat dengan garisan berjalur putih dan kuning di bahagian bawah kelopak bunganya .
3- Hippeastrum Hibrid
Selain daripada dua spesis di atas , terdapat banyak lagi spesis kacukan dalam genus Hippeastrum ini yang boleh dipilih untuk ditanam sebagai tanaman hiasan yang berbunga lebih cantik lagi dalam pelbagai warna kelopak yang menarik seperti merah terang , merah muda , oren dan beberapa warna lagi .
Pembiakan
Hippeastrum ( lily ) boleh dibiakkan menggunakan butir bebawangnya . Pokok dewasa mengeluarkan bebawang kecil yang tumbuh dari sisi bebawang induknya bagi tujuan pembiakan seterusnya .
Cara Mudah Menanam Pokok Bebawang Hippeastrum ( Lily )
Berikut adalah langkah-langkah mudah menanam pokok bebawang Hippeastrum ( lily ) .
1- Keluarkan medium tanaman dan rumpun pokok bebawang dari dalam pasu atau dikorek dari dalam tanah .
2- Pisahkan medium tanaman dari kelompok butir bebawang berkenaan .
3- Tanggalkan butir-butir bebawang dari induknya .
4- Tanam butir bebawang berkenaan dalam pasu yang telah berisi dengan medium tanaman yang baru atau ia juga boleh ditanam terus dari tanah .
Siram medium tanaman sehingga air membasahi keseluruhannya .
Medium tanaman yang sesuai untuknya tumbuh subur ialah campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu campuran 3:2:1 ( Tanah peroi : Bahan organik : Pasir sungai ) .
Campurkan baja organik yang sesuai sama ada najis ayam atau kelawar yang siap diproses untuk pertumbuhan yang subur .
Jika ditanam di tanah medium tanaman iaitu tanah perlu digembur dan dicampurkan sedikit baja organik bagi membekalkan baja yang diperlukan untuknya membesar dan berbunga lebat .
Tip Tanaman
1- Potong batang bunga yang telah layu bagi mengelakkan pembaziran baja serta menggalakkan pertumbuhan bunga yang baru .
2- Bunganya boleh dipotong untuk dijadikan bahan dalam gubahan bunga hidup untuk hiasan meja seperti dipamerkan di logi hotel dan kediaman .
Penjagaan
1- Ia memerlukan pendedahan kepada banyak cahaya matahari untuknya tumbuh subur dan merangsang pengeluaran bunga .
2- Jika ditanam di dalam pasu , siram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang pada hari panas . Siram apabila perlu sahaja di hari hujan .
3- Gunakan baja organik atau baja kimia untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan banyak berbunga .
Idea Pameran
1- Ia bleh ditanam dalam satu pasu untuk dijadikan pokok spesimen bagi pengeluaran bunga yang cantik .
2- Ia juga sesuai ditanam atau dicampur dengan pokok berbunga atau berdaun lain dalam satu gubahan pokok hiasan hidup .
3- Ia cantik ditanam di tanah dalam skala yang luas dan cantik pemandangan seperti dilakukan dengan bunga tulip di Belanda .
🌻Anda memang cun sekali . Terima kasih sudi melayari blog saya. Semoga anda mendapat manfaat darinya. 😊🌻 EmoticonEmoticon